Untitled-1.jpg

28 June 2011

Sewa rumah PM, TPM RM18,000 sehari

Jika dibahagikan, secara mudahnya kos sewa bagi kediaman rasmi perdana menteri dan timbalannya lebih RM18,000 untuk sehari.
Kos baik pulih pula mencecah RM60,000 sebulan, bil elektrik RM5,704 sehari dan bil air RM1,092 sehari.
"Dari satu sudut, rakyat disuruh berjimat, agensi kerajaan disuruh berjimat, tiba-tiba untuk dua pemimpin negara ini, wang rakyat diguna sebanyak itu", kata Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) pada sidang media di Parlimen hari ini.
Turut serta pada sidang media itu, Dr Siti Mariah Mahmood (PAS-Kota Raja) dan Anthony Loke (DAP-Rasah).
Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS sebelum ini menanyakan kepada kerajaan berhubung jumlah pembiayaan kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri setiap tahun bermula tahun 2006 hingga 2010.
Dalam jawapan bertulis semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz menjelaskan kerajaan membelanjakan RM48,789,115.03 setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi kedua-dua pemimpin negara itu.
Dalam perincian jawapan yang diberikan itu, Nazri menjelaskan kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu adalah berjumlah RM32,972,115.55, kos baik pulih RM3,581,744.78, bil elektrik RM10,267,868.15 dan bil air RM1,967,386.55 untuk satu tahun.
Untuk rekod, kedua-dua rumah kediaman rasmi itu adalah disewa oleh kerajaan daripada Perbadanan Putrajaya.
"Rumah bernilai berjuta-juta, kita tak tahu apa yang dibaik pulih setiap bulan," katanya lagi sambil mendakwa ia satu pemborosan melampau.
Tak rasa kesusahan rakyat
Anthony Loke dalam pada itu berkata, tidak hairanlah jika pemimpin negara ini memotong subsidi rakyat dengan menaikkan harga barangan seperti gula dan petrol.
Ia kerana, pemimpin negara tidak pernah merasai kesusahan rakyat kerana tenggelam dalam kehidupan mewah dan boros mereka.
"Saya tinggal dengan ibu bapa saya di rumah, maksimum bil elektrik saya RM150 sebulan. Bil setahun elektrik rumah rasmi PM dan TPM boleh bayar boleh bayar untuk 100 tahun bil elektrik saya.
"Kalau bil air, di Selangor subsidi 20 meter padu iaitu RM11, cukup untuk dua orang guna satu bulan.
"Kalau RM32,789 sebulan di kediaman rasmi PM dan TPM, bermakna ia diguna lebih kurang 5961 orang.
"Ini satu angka yang memeranjatkan," katanya.

22 June 2011

Semua diseru jayakan Bersih 2.0

 KUALA LUMPUR, 22 Jun: Semua ahli dan penyokong PAS diseru menghadirkan diri untuk perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini bagi menyatakan sokongan rakyat terhadap tuntutan 8 perkara untuk perubahan sistem pilihan raya ke arah yang lebih baik.“Ini bagi menjamin keyakinan terhadap sistem demokrasi berparlimen negara,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Harakahdaily hari ini.

Bersih 2.0 yang dianggotai lebih daripada 80 NGO telah menyenaraikan 8 tuntutan berikut demi menjamin pilihan raya yang lebih adil bagi mempromosikan demokrasi yang telus dan dinamik iaitu bersihkan senarai undi, mereformasi undi pos, guna dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Dalam konteks negara, kata Tuan Ibrahim, demonstrasi aman yang dianjurkan Bersih 2.0 bukanlah perkara baru dalam konteks negara.

“Selepas pilihanraya umum ke 12, Umno ternyata lebih banyak mengadakan demo berbanding Pakatan Rakyat. Namun, apa yang menarik demo mereka ini dapat pengawalan polis tanpa sebarang provokasi. Ia berjalan dengan aman walaupun ia berbentuk hasutan.“Contohnya, peristiwa membawa kepala lembu, membakar gambar dan bendera dan juga pengisytiharan perang khususnya yang dianjurkan rakan akrib Umno, Perkasa, yang ternyata mempunyai kekebalan luar biasa daripada sentuhan undang-undang dan juga polis,” kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tuan Ibrahim turut menambah bahawa PAS berterima kasih ke atas kebebalan Perkasa yang mengeluarkan pelbagai kenyataan bersifat provokasi kebelakangan ini.“Kerana ini sudah tentu dapat memudahkan kerja polis untuk menahan mereka yang melakukan provokasi – dan sudah jelas yang buat provokasi tentulah Perkasa.“Tapi, di Malaysia, kita sudah pasti tidak terkejut sekiranya yang kena tahan pihak yang tidak membuat provokasi seperti PAS, PKR dan DAP,” sindir beliau.

Mengenai keazaman Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk turut serta melakukan demo pada Julai 9 nanti seperti yang dilakukan Bersih 2.0, Tuan Ibrahim berkata ia adalah satu tindakan yang agak luar biasa sehinggakan Khairy berani mencabar polis dan menyatakan kesediaannya untuk ditangkap.“Cuma PAS hairan Pemuda Umno sertai demo untuk menuntut apa? Kalau tuntutan kita atas 8 perkara, maka Pemuda Umno nak tuntut apa?

“Jika benar kata Khairy bahawa mereka juga mahu menuntut penambahbaikan sistem pilihan raya di Malaysia, maka ini bermakna pemuda Umno nampaknya lebih faham berbanding pemimpin-pemimpin Umno yang tua-tua yang sering berlindung di bawah dagu Perkasa dan Ibrahim Ali (Presiden Perkasa),” sindirnya lagi.

16 June 2011

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

PDRM JANGAN JADI BUDAK SURUHAN UMNO/BN

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasa amat dukacita di atas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang menyebut pihak Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk membuat tangkapan pencegahan sekiranya perlu, sebelum dan semasa perhimpunan BERSIH yang dijadual berlangsung pada 9 Julai depan. Perhimpunan BERSIH adalah satu Himpunan AMAN yang diketuai oleh beberapa NGO dan parti-parti politik daripada Pakatan Rakyat yang menuntut supaya pihak Kerajaan melaksanakan system pilihanraya di Malaysia secara bersih dan adil. Inilah harapan dan kemahuan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan pihak PDRM cuba menakut-nakutkan dan menyekat hak-hak rakyat Malaysia untuk bebas menyatakan hasrat mereka secara terbuka seperti yang termaktub di dalam perlembagaan Malaysia dengan mengeluarkan ancaman untuk melakukan tangkapan pencegahan tersebut. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menasihatkan PDRM supaya mencontohi pihak polis di UK yang membenarkan himpunan aman diadakan di negara mereka serta memberikan kawalan keselamatan secukupnya supaya himpunan tersebut dapat dijalankan dengan jayanya. Begitu juga pihak polis di Jakarta yang lebih ‘mesra’ pendekatan mereka terhadap peserta himpunan aman di negera meraka dengan memaklumkan kepada peserta himpunan aman di dalam media elektronik supaya berhimpun dalam keadaan aman, mengikut jalan-jalan yang telah disediakan untuk himpunan tersebut serta bersurai dengan tertib. 

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersetuju dengan pandangan yang diutarakan oleh YB Dato’ Haji Mahfoz Omar, Naib Presiden PAS, Ahli Parlimen Pokok Sena, YB. Dato’ Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungai Petani dan Ahli Parlimen Jelutong, YB Jeff Ooi yang berpendapat bahawa pihak PDRM sepatutnya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada rakyat Malaysia yang akan hadir untuk menyertai Himpunan BERSIH kali ini dengan menyediakan anggota polis yang mencukupi bagi mengawal selia himpunan tersebut supaya berjalan dengan baik dan sempurna, menyediakan jalan-jalan yang sesuai untuk para peserta berarak dan berhimpun dengan aman. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga pihak PDRM akan mengambil tindakan yang lunak untuk berbincang dengan pihak penganjur program supaya himpunan ini dapat dijayakan dengan baik. Janganlah disebabkan tekanan daripada pihak-pihak luar yang takut kehilangan kuasa mereka disebabkan arus kebangkitan rakyat menentang kezaliman dan ketidakadilan maka PDRM mengambil satu tindakan yang silap yang boleh menghakis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan integriti mereka sendiri. 

HASBULLAH MOHD RIDZWAN           
KETUA DEWAN PEMUDA PAS
NEGERI SELANGOR

16 Jun 2011

12 June 2011

Tahniah Rakyat Turki berpesta atas kemenangan AKP

ISTANBUL, 12 Jun: Parti Keadilan dan Kesejahteraan (AKP) Turki pimpinan Toyyib Erdorgan berjaya memenangi pilihan raya Turki buat kali ketiga berturut-turut dan sekalligus memecahkan rekod yang dipegang parti pimpinan Adnan Manderes sebelum ini.

AKP menang dengan undi popular sebanyak 49.9 peratus berbanding 37 peratus dalam pilihan raya 2002 dan 47 peratus dalam pilihan raya 2007.

Bagaimanapun AKP gagal mencapai sasarannya untuk memenangi dua pertiga kerusi apabila hanya memenangi 325 kerusi iaitu kurang dua belas kerusi lagi dari jumlah sasaran dua pertiganya.

Rakyat Turki, khasnya penyokong AKP dari pelbagai lapisan umur bagaikan berpesta di perkarangan pejabatnya di Istanbul dan juga di Ankara.

Di Ankara, Presiden AKP, Erdogan dan isterinya berucap kepada para penyokongnya bagi meraikan kemenangan itu kira-kira jam 9.30 malam waktu tempatan.

Di Istanbul, pesta kemenangan berlangsung di perkarangan pejabat AKP dan juga di dalam dewan besar pejabat AKP Istanbul.

Para remajanya menari tarian tradisional Turki sambil menyanyikan lagu khas yang dicipta AKP untuk pilihan raya kali ini.

Mereka mengibarkan bendera AKP yang dibekalkan oleh parti itu sejak jam tujuh malam apabila keputusan awal diumumkan AKP sudah memperolehi 53.24 peratus.

Sambil menyanyi dan menari, mereka juga bersorak setiap kali gambar pemimpin kesayangan, Erdogan dipaparkan dilayar besar yang dipasang di perkarangan parti itu.
(Gambar bawah: Huseyin Kansu [kanan] bercakap dengan Dr Mariah Mahmud menjelang keputusan pilihan raya diumumkan)
Menurut Huseyin Kansu, bekas anggota Parlimen AKP, partinya masuk ke dalam pilihan raya ini dengan sasaran untuk membolehkan partinya membuat satu perlembagaan baru yang disediakan oleh pihak awam.

Ini kerana, perlembagaan Turki yang ada sekarang disediakan oleh pihak tentera. Walaupun sudah berpuluh kandungannya dipinda oleh kerajaan AKP namun ia tidak menyelesaikan masalah gangguan tentera dan mahkamah perlembagaan yang sentiasa menganggu kerajaan pilihan rakyat itu.

Antara pindaan yang pernah dibuat adalah membenarkan para pelajar wanita universiti di negeri itu memakai tudung disamping membenarkan wanita memakai tudung di majlis rasmi kerajaan.

Ketika mula menang di Turki pada tahun 2002 dahulu, isteri Erdogan sendiri, Emin, tidak boleh mengiringi suaminya ke majlis rasmi kerana beliau enggan memakai tudung yang dipakainya itu.

Kini, Emin boleh menemani suaminya ke mana-mana termasuk ke majlis rasmi kerajaan.

Namun pindaan-pindaan yang dibuat tidak boleh menghentikan pihak tentera mengganggu gugat kerajaan pada setiap masa.

"Hanya dengan membuat semula perlembagaan yang berasaskan demokrasi sepenuhnya barulah ia akan selesai," kata Huseyin Kansu kepada Harakahdaily.

Huseyin adalah anggota Parlimen tiga zaman iaitu dibawah parti Refah, Fadhilat dan yang terakhir AKP iaitu pada tahun 2002.
Selepas tiga penggal sebagai anggota Parlimen, Huseyin tidak lagi bertanding sejak 2007 dan pilihan raya tahun ini namun beliau kekal sebagai penyokong tegar AKP.

Bagi beliau, setiap kali tentera menganggu urusan kerajaan, ekonomi Turki juga akan turut terganggu.

"Oleh itu majoriti lebih dua pertiga diperlukan untuk membolehkann perlembagaan baru dibuat dan menjadikan Turki benar-benar negara demokratik," kata Huseyin.

Dalam pilihan raya ini, AKP mendapat 325 kerusi, CHP 135, MHP 54 dan BGM 36 kerusi.
Turut menjadi pemerhati pilihan raya ini adalah lima pemimpin dan petugas PAS dan tiga pemimpin PKR. Delegasi PAS yang diketuai Dr Mariah Mahmud turut disertai oleh Nasir (Kedah), Onn Jaafar (Johor), Taufek Ghani (Negeri Sembilan), Abdul Rahman dan Baihaki Atiqullah (Kelantan) di samping penuls (Harakah).
Pemimpin PKR adalah Nurul Izzah Anwar (naib presiden), Saifudin Nasution (setiausaha agung) dan Datuk Johari Abdul (ahli MPT)

07 June 2011

Majlis Makan Malam Dan Ceramah Perdana

06 June 2011

Subsidi: Najib mesti jawab pendedahan Ani Arope

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak harus menjawab pendedahan yang dibuat oleh mantan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Ani Arope bahawa Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bertanggungjawab terhadap skandal subsidi minyak yang menyebabkan rakyat Malaysia menanggung kos berjumlah RM131.3 bilion pada tahun 2010.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Ani yang memilih untuk melepaskan jawatan beliau daripada menandatangani perjanjian berat sebelah, yang melihat penciptaan generasi pertama IPP, seperti YTL Power Services, Powertek dan Malakoff semasa pentadbiran Mahathir.

Katanya, EPU telah memaksa Tenaga untuk membeli kuasa daripada pengeluar bebas elektrik (independent power producer –IPP), yakni Genting Sanyen, sebanyak 14sen/kWh walaupun terdapat penawaran sebanyak 12sen/kWh; dan IPP mengenakan bayaran sebanyak 16 sen/kWh.

Tambahnya, dalam pada itu, turut menggelar EPU sebagai ‘Economic Plundering Unit’ dengan menaikkan tarif elektrik sewenangnya, menyatakan bahawa agensi janakuasa tersebut telah memaksa syarikat janakuasa nasional untuk menandatangani perjanjian pembelian berat sebelah hampir 20 tahun yang lalu di mana Tenaga mesti membeli tenaga yang tidak diperlukan.“Hal ini menyebabkan Malaysia mengalami margin simpanan elektrik yang tertinggi di dunia iaitu 52.6% pada tahun 2010,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, sehingga akhir tahun 2010, Petronas telah menjengkalkan subsidi gas asli terhadap sektor janakuasa dan sektor bukan janakuasa sebanyak RM131.3 bilion.
Beliau berkata, sekiranya harga gas asli tidak berubah (dalam sektor janakuasa pada RM10.70/MMBTU; sektor bukan janakuasa pada RM15.35/MMBTU), sejumlah RM27 billion terpaksa ditanggung pada 2011.
Tambahnya lagi, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dibenarkan untuk menaikkan 7% kenaikan kerana Tenaga perlu membayar lebih untuk harga gas asli yang naik sebanyak RM3 se MMBTU, di mana ianya akan mengurangkan kos subsidi kepada RM25.64 bilion daripada RM27.22 bilion.

“Jelas sekali, tiada justifikasi untuk Putrajaya menaikkan tarif elektrik sebanyak 7% apabila kajian semula syarat asal IPP adalah memadai daripada pemotongan nilai subsidi tersebut,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Katanya lagi, ‘Federation of Malaysian Manufacturers’ (FMM) telah menyatakan bahawa harga dalam sektor janakuasa Malaysia belum menjadi lebih kompetitif, walaupun bayaran untuk gas asli adalah lebih murah (RM13.70/mmBtu) berbanding Thailand (RM18.23), Singapura (RM43.32) dan Indonesia (RM21.04). Kos elektrik di Malaysia berikutan kenaikan kadar adalah menghampiri kadar di Thailand.

“Sekiranya kita membandingkan kadar tenaga elektrik di Thailand yang berkategori tenaga bervoltan rendah, sederhana dan tinggi, kadar tarif Malaysia antara kategori tersebut adalah lebih tinggi,” katanya.
 Justeru, ujarnya Perdana Menteri harus menjawab kepada rakyat Malaysia kenapa rakyat harus ‘membayar’ bagi kesilapan atau perjanjian yang tidak seimbang oleh EPU yang bertentangan dengan kepentingan nasional kerana ia hanya menguntungkan beberapa IPP dengan mengorbankan kepentingan 27 juta rakyat Malaysia.
 

Setting Up Blog Using Blogger | Design By Penerangan Pas Kuala Langat © 2011 | Best Screen Resolution: 1024x768 Pixels | Best View With Firefox or IE7 or Higher